Article Link: https://www.beritaharian.sg/sukan/menjelang-sukan-sea-semangat-jaguh-tinju-tendang-terus-membara DUA tahun adalah waktu yang agak lama dan dalam tempoh itu, pelbagai perubahan boleh berlaku. Bagi petinju tendang Singapura Nazri Sutari, perubahan yang ketara sejak memenangi pingat emas dalam sambo di Sukan SEA Manila pada Disember 2019 - yang pertama buat negara dalam sukan seni mempertahankan diri itu - adalah sosok tubuhnya yang lebih tegap dan kurus. Kejuaraan dalam edisi lalu Sukan SEA itu diraih dalam acara sambo kombat bawah 82 kilogram.
Ketika ditemui di gimnasium Active Zone di Beach Road baru-baru ini, Nazri, 31 tahun, mendedahkan beratnya kini adalah 73 kilogram, sebagai persiapan untuk membuat penampilan sulungnya dalam sukan tinju tendang di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam Mei ini. Nazri, yang merupakan petinju tinju tendang pertama dan satu-satunya dari Singapura di edisi 2022 temasya sukan dwitahunan itu, bakal berentap dalam acara Tendang Rendah Bawah 71 Kilogram Lelaki (Men Under 71kg Low Kick). Ia akan menjadi penampilan keduanya di Sukan SEA. Beliau membuat peralihan kepada kelas baru setelah Aleksandar Topic, salah seorang jurulatih tinju tendang terhebat Serbia, mencadangkannya. Nazri menghabiskan dua bulan di Serbia berlatih dengan Topic di gimnasiumnya, Topic Team, sebelum bersaing di Kejohanan Dunia Senior dan Master Persatuan Dunia Pertubuhan Tinju Tendang (Wako) 2021 Oktober lalu. Di kejohanan itu, Nazri bertanding dalam kategori Gaya K1 75 Kilogram Senior Lelaki, yang mana beliau terkandas di pusingan pertama. "Topic kata bahawa saya bagus. Tapi, saya terlalu pendek untuk kategori 75 kilogram," kata Nazri, yang setinggi 167 sentimeter. "Secara kebetulan, kategori paling berat di Sukan SEA ini adalah 71 kilogram. Jadi, sudah macam takdir untuk saya turun satu kategori." Selain perubahan secara fizikal, mentaliti beliau untuk terus bertanding di peringkat tinggi juga sudah berubah. "Kali terakhir kita bertemu (pada 2019 selepas kemenangan Sukan SEA), saya pernah kata yang saya mahu 'relax' sedikit," kata Nazri kepada wartawan. "Tapi, selepas pulang dari Kejohanan Dunia Tinju Tendang semangat saya untuk bersaing kuat membara. "Saya rasa seperti saya perlu lakukan sesuatu...Saya fikir semangat saya untuk menyertai pertandingan dan bersaing dihidupkan semula." Sejak itu, Nazri mengatur rancangan untuk mempergiatkan lagi latihannya di sini. Ini walaupun peluang pertandingan dan pertempuran dengan lawan berkualiti kurang di Singapura dan rantau ini. Namun Nazri tidak mengehadkan diri kepada tinju tendang. Sebaliknya, beliau berlatih bersama juara dunia silat negara Sheik Alau'ddin Yaacob Marican, dan jurulatih Muay Thai dari Singapura, Robert Yap, yang mempunyai 25 tahun pengalaman. "Sheik dan pasukan jurulatihnya membantu mempersiapkan saya secara fizikal…intensiti dalam program mereka sangat mencabar habis dan setiap kali menguji tahap mental. "Robert membantu saya mengekalkan kemahiran saya kerana Muay Thai dan tinju tendang hampir sama…Saya juga dapat bersaing dengan atlet nasional mereka, yang pernah bertanding di pertandingan antarabangsa. Jadi, mereka faham apa yang perlu untuk bertanding di peringkat tinggi." Namun, dalam pelbagai perbezaan, ada satu perkara yang kekal sama dalam diri Nazri - keinginan hebat beliau untuk menjadi juara. Meskipun akan kali pertama bersaing dalam tinju tendang di Hanoi, Nazri sasar membawa pulang pingat emas. "Sama seperti sambo…Saya mahu buktikan saya yang terbaik di Asia Tenggara," katanya, yang menduduki ranking tertinggi tinju tendang di Asia Tenggara itu. "Itulah kepercayaan diri yang saya ada. Dalam lubuk hati saya, saya tahu saya yang terbaik dan saya perlukan kemenangan ini untuk menunjukkan kepada semua dan membuktikannya kepada diri saya." Dan sekiranya beliau berjaya di Sukan SEA nanti, Nazri berkata ia petanda baik bahawa beliau sudah bersedia meraih kecemerlangan di pentas dunia. "Sukan SEA adalah langkah pertama untuk saya menakluki Kejohanan Dunia (pada 2023)," ujarnya. Nazri akan berangkat ke Serbia lusa untuk kembali berlatih bersama Topic selama dua bulan dan kemudian langsung terbang ke Vietnam bagi Sukan SEA. Setelah selesai, beliau akan kembali ke Serbia selama sebulan sebelum bersaing dalam pertandingan bertaraf dunia Wako di Hungary dan Italy. Pengembaraan empat bulan di luar negara itu akan menelan perbelanjaan sekitar $20,000, dengan Nazri, yang kini berlatih sepenuh masa di samping mengendalikan latihan peribadi, sedang berusaha mendapat dana daripada Sport Singapore. Beliau juga merancang memulakan kempen 'crowdfunding'. Ditanya apa perasaannya sekali lagi berpeluang mengembangkan sayapnya di Eropah, Nazri menjawab: "Saya benar-benar tidak sabar. Saya tidak pernah rasa segembira itu ketika berlatih dan bersaing di Eropah…Di Singapura, ada kalanya ia menjadi agak sunyi." "... Selepas pulang dari Kejohanan Dunia Tinju Tendang semangat saya untuk bersaing kuat membara. Saya rasa seperti saya perlu lakukan sesuatu...Saya fikir semangat saya untuk menyertai pertandingan dan bersaing dihidupkan semula.'' - Petinju tinju tendang Singapura Nazri Sutari. Pemenang pingat emas dalam sambo di Sukan SEA Manila 2019 - yang pertama buat negara dalam sukan seni itu.
0 Comments
Leave a Reply. |
AuthorCheck out the latest kickboxing news! Archives
March 2022
Categories |